Hari Raya ‘Eid (Aidilfitri) Menurut Sunnah - Selamat datang di blog Yulia Amira !!, Info kali ini adalah tentang Hari Raya ‘Eid (Aidilfitri) Menurut Sunnah !! Semoga tulisan singkat dengan kategori
Amalan !!
ARTIKEL !!
Ibadah !!
Puasa !!
ramadhan !! ini bermanfaat bagi anda yang membutuhkan. Dan untuk anda yang baru berkunjung kenal dengan blog sederhana ini, Jangan lupa ikut menyebarluaskan postingan bertema Hari Raya ‘Eid (Aidilfitri) Menurut Sunnah ini ke social media anda, Semoga rezeki berlimpah ikut di permudahkan sang khalik yang maha kuasa, Selengkapnya lansung lihat infonya dibawah -->
السلام عليكم
‘Eid bermaksud suatu hari yang berlakunya perkumpulan. Kata ini diambil dari kata ‘adaa-ya’uudu yang bermaksud kembali, seakan-akan mereka kembali kepadanya , hari ‘Eid. Ada juga yang berpendapat bahawa kata ini diambil dari kata al-‘aadah yang bermaksud suatu kebiasaan kerana mereka membiasakannya (biasa dengan perayaan ‘Eid). Bentuk jamak dari kata ini adalah a’yaad. Jika ada yang berkata: “Ayyadal muslimun” bererti dia menyaksikan hari raya mereka.
Berkata Ibnu al-Arabi:
Hari Raya disebut ‘Eid kerana hari itu muncul kembali setiap tahun dengan membawa kegembiraan yang baru. [Lisaanul Arab (III/319)]
Berkata Al-‘Alamah Ibnu ‘Abidin:
Disebut ‘Eid kerana pada hari itu Allah subhanahu wa ta’ala memiliki pelbagai macam kebaikan yang akan kembali kepada hamba-hambaNya setiap hari seperti berbuka (tidak berpuasa) setelah adanya larangan makan dan minum disiang hari pada bulan Ramadhan, zakat fitrah, penyempurnaan haji dengan tawaf ziarah, daging korban dan sebagainya. Selain itu kerana kebiasaan yang berlaku pada hari tersebut adalah kegembiraan, kebahagiaan, keceriaan dan hubur (kenikmatan). [Haasyiyatu Ibni ‘Abidin (II/165)]
Hari raya ‘Eid merupakan rahmat Allah subhanahu wa ta’ala kepada ummat Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana hadith daripada Anas radhiallahu ‘anhu berkata, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam pernah dating ke madinah sedang penduduknya memiliki dua hari raya yang keduanya mereka bermain-main di masa Jahiliyyah*, maka beliau bersabda:
كَانَ لَكُمْ يَوْمَانِ تَلْعَبُونَ فِيهِمَا وَقَدْ أَبْدَلَكُمْ اللَّهُ بِهِمَا خَيْرًا مِنْهُمَا يَوْمَ الْفِطْرِ وَيَوْمَ الْأَضْحَى
Kalian dahulu mempunyai dua hari untuk bermain-main, sungguh Allah telah menggantinya dengan yang lebih baik dari keduanya, yakni hari (raya) Fitri dan hari (raya) Adha (Kurban). (Riwayat An-Nasai no.1538, hadith ini sahih)
* Nota: Keduanya adalah hari Nairuz dan hari Mahrajan. [‘Aunul Ma’buud (III/485) Al-’Azhim Abadi]
Berkata Syaikh Ahmad ‘Abdurrahman al-Banna:
Maksudnya kerana kedua hari raya ‘Eidulfitri dan ‘Eidul Adha disyariatkan oleh Allah subhanahu wa ta’ala seperti pilihanNya bagi makhlukNya. Selain itu kerana keduanya berada di kedudukan setelah perlaksanaan dua rukun Islam iaitu Haji dan puasa. Pada kedua hari tersebut, Allah azza wa jalla memberikan keampunan kepada orang yang menunaikan ibadah haji dan orang-orang yang menunaikan puasa sekaligus menyebarluaskan rahmatNya kepada seluruh makhlukNya yang taat. Sementara hari Nairuz dan Mahrajan ditetapkan berdasarkan pilihan penguasa ketika itu kerana pada keduanya terdapat kesesuaian zaman dan suasana serta pelbagai kelebihan yang tidak kekal. Dengan demikian, perbezaan antara keduanya iaitu hari raya yang disyariatkan dan hari raya jahiliyyah sangat jelas.
Mandi sebelum Solat ‘Eid
Dari Nafi’ bahawa Abdullah bin ‘Umar biasa mandi pada hari raya ‘Eidul Fitri sebelum berangkat ke tempat perlaksanaan solat. [Riwayat Malik, As-Syafie dan Abdurrazaq dengan sanad yang sahih.]
Berkata Sa’id bin al-Musayyab:
Sunnah solat ‘Eidul Fitri ada tiga iaitu berjalan kaki menuju tempat solat, makan sebelum berangkat dan mandi sebelum solat. [Riwayat Al-Farabi dengan sanad sahih sebagaimana yang dinyatakan dalam Irwaaul Ghalil]
Berkata Ibnu Qudamah:
Disunnahkan untuk membersihkan diri dengan mandi pada hari raya ‘Eidul Fitri. Ibnu Umar biasa mandi pada hari raya ‘Eid. Hal tersebut diriwayatkan daripada ‘Ali radhiallahu ‘anhu, Alqamah, ‘Urwah, Atha’, An-Nakhai, As-Sya’bi, Qatadah, Abu az-Zinad, Malik, As-Syafie, dan Ibn Munzir. [Al-Mughni (II/370)]
Adapun satu riwayat yang disandarkan kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam mengenai hal tersebut, sesungguhnya riwayat itu adalah dhaif (lemah). Hadith itu diriwayatkan dalam Sunan Ibnu Majah no.1315. Di dalam sanadnya terdapat perawi bernama Jubarah bin al-Mughallis dan syaikhnya yang keduanya dinilai dhaif. Turut diriwayatkan oleh Yusuf bin Khalid as-Sumti yang dinilai kazzab (pendusta) oleh kebanyakan ulama’ jarh wa ta’dil.
Makan sebelum Solat ‘Eid
Dari Anas radhiallahu ‘anhu berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَغْدُو يَوْمَ الْفِطْرِ حَتَّى يَأْكُلَ تَمَرَاتٍ وَقَالَ مُرَجَّأُ بْنُ رَجَاءٍ حَدَّثَنِي عُبَيْدُ اللَّهِ قَالَ حَدَّثَنِي أَنَسٌ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَيَأْكُلُهُنَّ وِتْرًا
Pada hari raya Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam tidak berangkat untuk melaksanakan solat hingga beliau makan beberapa butir kurma." Murajja' bin Raja' berkata; telah menceritakan kepadaku 'Ubaidullah berkata, telah menceritakan kepadaku Anas dari Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, "Beliau makan beberapa kurma dengan bilangan ganjil." (Riwayat Bukhari, Malik, Ahmad dan Ibnu Majah, hadith ini sahih)
Berkata al-Muhallab:
Hikmah makan sebelum solat ‘Eid adalah agar tidak ada orang yang menyangka bahawa masih diwajibkan berpuasa sebelum sampai dikerjakan solat ‘Eid. [Fath al-Bari (II/447)]
Dari Buraidah radhiallahu ‘anhu berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَغْدُو يَوْمَ الْفِطْرِ حَتَّى يَأْكُلَ وَلَا يَأْكُلُ يَوْمَ الْأَضْحَى حَتَّى يَرْجِعَ فَيَأْكُلَ مِنْ أُضْحِيَّتِهِ
Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam tidak pergi dihari raya fitri hingga makan dan tidak makan pada hari raya kurban hingga kembali lalu memakan hewan kurban beliau." (Riwayat Ahmad, Al-Tirmizi dan Ibnu Majah, hadith ini hasan)
Berkata Ibnu Qayyim:
Adapun pada hari raya ‘Eidul Adha, Baginda tidak makan hinga kembali dari tempat solat kemudian baru makan daging korbannya. [Zaadul Ma’ad (I/441)]
Berkata As-Syaukani:
Hikmah diakhirkan makan pada hari raya ‘Eidul Adha adalah kerana pada hari itu disyariatkan penyembelihan haiwan korban dan memakan sebahagiannya. Oleh kerana itu, makannya disyariatkan dari haiwan korban itu. Demikian juga yang dikemukakan oleh Ibnu Qudamah dalam Al-Mughni. [Nailul Authar (III/357)]
Berangkat dan Pulang Dari Tempat Solat
Dari Jabir radhiallahu ‘anhu berkata:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ يَوْمُ عِيدٍ خَالَفَ الطَّرِيقَ
Jika Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam Solat 'Eid, beliau mengambil jalan yang berbeza (antara berangkat dan kembali). (Riwayat Al-Bukhari no.986)
Terdapat pelbagai pendapat akan hikmah berbeza jalan ketika pergi dan pulang dari Solat ‘Eid ini, antaranya:
- Agar orang-orang yang menempuh kedua jalan tersebut dapat mengucapkan salam kepada orang yang tinggal di sekitar kedua jalan tersebut.
- Agar mendapatkan keberkatan pada kedua jalan tersebut.
- Agar kaum Muslimin dapat menunaikan keperluan mereka di setiap jalan tersebut.
- Ada juga pendapat iaitu untuk memperlihatkan syiar Islam itu sendiri.
Setelah menyebutkan beberapa pendapat diatas, Imam An-Nawawi rahimahullah berkata:
Apabila hikmah (sebab) tidak diketahui maka sudah sepatutnya untuk tetap sahaja mengikuti sunnah Rasulullah. Wallahua’lam. [Raudhah al-Thalibin (II/77)]
Berkata al-Baghawi:
Disunnahkan bagi ummat Islam untuk berangkat ke tempat perlaksanaan solat , musolla (tanah lapang) setelah solat subuh untuk mengambil tempat dan mengumandangkan takbir. Adapun imam keluar pada saat hampir waktu solat ‘Eid. [Syarhus Sunnah (IV/302-303)]
Daripada ‘Ali radhiallahu ‘anhu berkata:
إِنَّ مِنْ السُّنَّةِ أَنْ يُمْشَى إِلَى الْعِيدِ
Termasuk dari sunnah adalah berjalan kaki menuju solat ‘Eid. " (Riwayat Al-Tirmizi dan Ibnu Majah, hadith ini hasan)
Takbir Pada Hari Raya ‘Eid
Firman Allah subhanahu wa ta’ala:
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ۖ وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۗ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur. (Al-Baqarah: 185)
Telah diriwayatkan bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam biasa berangkat menunaikan solat ‘Eid lalu beliau bertakbir hingga tiba di tempat perlaksanaan solat bahkan hingga solat akan dilaksanakan. Kemudian jika solat akan dilaksanakan, beliau menghentikan bacaan takbir.[Riwayat Ibnu Abi Syaibah dalam Musannafnya dan Al-Mahamili dalam Salaatul ‘Eidain. Hadith ini walaupun dengan sanad yang sahih namun statusnya mursal. Meskipun demikian ia memilikia beberapa syahid (penguat). Lihat Silsilah al-Hadith as-Sahihah no.170]
‘Umar radhiallahu ‘anhu biasa bertakbir di khemahnya di Mina sampai terdengar oleh orang-orang yang hadir di masjid sehingga mereka pun bertakbir. Begitu juga orang-orang yang sedang berada di pasar, mereka ikut bertakbir sehingga Mina bergemuruh dengan bacaan takbir. Ibnu Umar juga bertakbir di Mina pada hari tersebut setelah selesai solat, di atas tempat tidur, lantai, tempat duduk dan dalam perjalanan. Maimunah bertakbir pada hari raya ‘Eidul Adha. Kaum wanita pun ikut bertakbir di belakang Abban bin ‘Uthman dan ‘Umar bin Abdul Aziz selama malam-malam hari Tasyriq bersama kaum lelaki di masjid.
Apabila Ibnu Umar berangkat ke tanah lapang pada hari raya ‘Eidul Fitri dan ‘Eidul Adha, beliau membaca takbir dengan suara yang lantang/ kuat sampai tiba di tempat perlaksanaan solat kemudian tetap bertakbir sehingga imam dating. [Riwayat Ad-Daraquhtni, Ibnu Abi Syaibah dan selain mereka dengan sanad yang sahih. Lihat juga Irwaa al-Ghalil no.650 ]
Tidak ditemukan suatu hadith yang sahih dalam menjelaskan sifat takbir ‘Eid. Namun begitu terdapat beberapa riwayat dari sebahagian sahabat Nabi seperti Ibnu Mas’ud radhiallahu ‘anhu, beliau pernah mengucapkan:
الله اكبر الله اكبر لا إله إلا الله، والله اكبر، الله اكبر ولله الحمد
Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, tidak ada ilah (Tuhan) yang berhak disembah selain Allah. Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, dan segala puji hanya bagi Allah. [Riwayat Ibnu Abi Syaibah dalam Musannafnya (II/168)]
Ibnu Abbas pula pernah mengucapkan:
الله اكبر الله اكبر الله اكبر ولله الحمد، الله اكبر واجل، الله اكبر على ما حدانا
Allah Maha Besar,Allah Maha Besar, Allah Maha Besar segala puji hanya bagi Allah. Allah Maha Besar lagi Maha Agung. Allah Maha Besar atas petunjuk yang telah diberikan kepada kita. [Riwayat Al-Baihaqi (III/315) dengan sanad yang sahih]
Salman Al-Khair radhiallahu ‘anhu pernah berkata:
كبروا الله: الله اكبر، الله اكبر، الله اكبر كبيرا
Agungkanlah Allah dengan menyebut: Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar dengan sebesar-besarnya. [Riwayat Abdurrazaq dalam musannafnya, Al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra (III/316 dengan sanad yang sahih)]
Cukup ramai orang yang menyalahi zikir yang bersumber dari sahabat dan salafussoleh yakni dengan membaca zikir-zikir yang ditambah dengan lafaz-lafaz yang baru yang tidak memiliki asal sama sekali.
Berkata Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalaini:
Pada zaman sekarang telah terjadi penambahan dalam hal takbir ‘Eid tersebut yang tidak mamiliki dasar asalnya sama sekali. (Fath al-Bari (II/536))
Berhias Diri Pada Hari ‘Eid
Berkata Ibnu Hajar Al-Asqalaini:
Diriwayatkan oleh Al-Baihaqi dan Ibnu Abi Dunya dengan sanad yang sahih kepada Ibnu Umar bahawasanya dia biasa mengenakan pakaian terbaik pada hari raya ‘Eidul Fitri dan ‘Eidul Adha.
Berkata Imam Malik:
Aku pernah mendengar dari para ulama’ bahawa mereka menyukai wangian dan berhias pada setiap kali hari raya ‘Eid.
Berkata Ibnu Qudamah:
Hal ini menunjukkan bahawa berhias diri bagi mereka pada kesempatan ini sudah sangat popular (menjadi kebiasaan). [Al-Mughni (II/228)]
Berkata Ibnu Qayyim:
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam biasa biasa berangkat ke tanah lapang (musolla) pada hari Raya ‘Eidul Fitri dan ‘Eidul Adha dengan pakaiannya yang paling bagus. [Zaadul Ma’ad (I/441)]
Berangkat ke Tempat Solat (Musolla/ Tanah Lapang)
Dari Abu Said Al-Khudri radhiallahu ‘anhu berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ وَالْأَضْحَى إِلَى الْمُصَلَّى فَأَوَّلُ شَيْءٍ يَبْدَأُ بِهِ الصَّلَاةُ
Pada hari raya ‘Eidul Firi dan Adlha Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam keluar menuju ke musolla (tanah lapang), dan pertama kali yang beliau kerjakan adalah solat hingga selesai. (Riwayat Al-Bukhari no.956)
Berkata Ibnu Hajj al-Maliki:
Sunnah yang telah dianjurkan dalam melaksanakan Solat ‘Eid adalah diadakan di musolla (tanah lapang) dan bukan di masjid. Meskipun terdapat fadhilat yang besar untuk bersolat di masjid Nabawi ketika itu, namun Rasulullah tetap meninggalkan Masjid Nabawi dan berangkat ke musolla (tanah lapang). [Al-Madkhal (II/283)]
Berkata Ibnu Qudamah:
Barangsiapa yang tidak mampu berangkat ke musolla (tanah lapang) kerana sakit atau kerana faktor usia yang sudah uzur, maka dia boleh bersolat di masjid dna insyaAllah tidak mengapa baginya. [Al-Mughni (II/230)]
والله أعلم بالصواب
Demikianlah Artikel Hari Raya ‘Eid (Aidilfitri) Menurut Sunnah, Semoga dengan adanya artikel singkat seperti Informasi postingan Hari Raya ‘Eid (Aidilfitri) Menurut Sunnah ini, Anda benar benar sudah menemukan artikel yang sedang anda butuhkan Sekarang. Jangan lupa untuk menyebarluaskan informasi Hari Raya ‘Eid (Aidilfitri) Menurut Sunnah ini untuk orang orang terdekat anda, Bagikan infonya melalui fasilitas layanan Share Facebook maupun Twitter yang tersedia di situs ini.